23 Sehingga 24 April 2016
Solok Sengkuang Cabin D'Village
Rembau, Negeri Sembilan
Alhamdulillah, selama dua hari dan satu malam berkampung di Solok Sengkuang Cabin D'Village, akhirnya Kem Kepimpinan Pengurusan & Pembangunan Organisasi telah berakhir dengan jayanya. Walaupun pada mulanya pelbagai dugaan telah timbul akan tetapi dengan berkat usaha dan doa semua pihak, akhirnya kem ini telah berjaya dilangsungkan dan berlangsung dengan cukup baik.
Kem kali ini bertempat di Rembau, Negeri Sembilan dan dipilih lokasinya atas sebab keunikan yang ada pada Kem Solok Sengkuang sendiri. Lokasi kem betul-betul dibawah kaki Gunung Datuk yang merupakan Gunung yang sangat terkenal di Negeri Sembilan untuk aktiviti mendaki. Kawasan kem berada agak jauh kedalam kawasan kelapa sawit dan terasing dengan kesibukan warga kota menjadikan kem ini amat sesuai untuk menjalankan Kem Kepimpinan ini.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah seperti aktiviti 'Ice Breaking', Taklimat Kursus Kelab & Persatuan, Latihan Dalam Kumpulan, Mengoca, Nightwalk, Explorace Khidmat Masyarakat dan lain-lain. Aktiviti yang telah disusun ini amat menarik dan unik seperti aktiviti 'Mengoca' dimana semua peserta dan Fasilitator telah dimasukkan kedalam sebuah kolam berlumpur yang sudah dilepaskan sebanyak 60 ekor ikan semilang Afrika yang bersais gergasi dan peserta akan bekerjasama antara mereka untuk menangkap ikan-ikan yang dilepaskan. Bukan itu sahaja, aktiviti Explorace Khidmat Masyarakat juga amat unik dan menyeronokkan dimana peserta akan dilepaskan ke kawasan kampung sambil dipantau pihak Polis Cawangan Kota untuk menjalankan perkhidmatan untuk mengumpul dana. Disitu, kesemua peserta akan mula bergaul dengan penduduk kampung dan melakukan kerja-kerja seperti membersihkan halaman rumah, membersihkan surau, membuat kolam itik, menyuci kenderaan dan lain-lain.
Akhir kata semoga aktiviti yang dijalankan di Kem mampu memberi impak dan pengajaran kepada semua peserta agar kelak ilmu yang diperolehi mampu membawa GPMS Cawangan Khas Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka menjadi lebih berjaya.